Catatan

Tunjukkan catatan dari Disember, 2022

Negeri Jelapang Padi; Kajian Lapangan Dialektologi

Imej
Mereka mengajar saya erti ukhuwah. Walau tidak mengenal rombongan kami, salam persaudaraan tetap dihulur dengan begitu mesra. Nurani saya bagai direntap dari jiwa saat kami berpisah. Padahal pertemuan kami beberapa jam sahaja. Ia tetap membuatkan takungan mutiara di tubir mata hampir pecah. Saya sematkan memori bersama mereka; sahabat seperjuangan dan penduduk Kampung Kandis, Kodiang dalam lubuk hati yang paling dalam. Semoga perkenalan ini tidak lebur dimamah waktu. Semoga berkesempatan untuk bertentang mata lagi duhai butir-butir padi.
Pantulan si gadis manis berbaju tradisi Melayu pada cermin kaca itu berjaya menggamit memori pada zaman persekolahan. Ia membuatkan saya terkenang akan sahabat yang sama-sama berjuang beberapa tahun lalu. Senyuman mesra mereka masih segar pada citra ingatan saya. Satu per satu silih berganti. Gelak tawa mereka juga kekal sama seperti dahulu. Masih terdengar pada cuping saya. Begitu akrab kami bersahabat. Wahai Ar-Rahman, rahmatilah mereka. Sejahterakan jiwa mereka. Bantulah perjuangan mereka, wahai Yang Maha Menguasai Langit dan Bumi.

Kelana yang Kelu

Imej
Saya ziarah blog sahabat, tempat kami berlatih dan bertatih menulis. Satu per satu aksara yang mereka persembahkan saya baca. Turut menyerta satu perasaan halus seakan menjentik saraf emosi saya. Entah mengapa laju benar meluncur hujan mutiara jernih dari kelopak mata. Tangki emosi itu akhirnya pecah jua, tidak mampu saya tahan-tahan lagi. Teresak-esak saya menahan rasa. Bagai anak kecil ditinggal ibu. Nukilan mereka seakan mencengkam sukma saya. Menyesakkan dada untuk diterjemah. Dalam diam ada sahabat yang sebenarnya bertimpa ujian ke atas mereka. Ya Allah, saya keliru. Saya tertanya-tanya. Mengapa saat bertentang mata hanya gelak tawa dan riak ceria yang mereka hidangkan? Mengapa saya tidak pernah mampu menebak taufan yang melanda jiwa mereka? Begitu ikhlas mereka perjuangkan nikmat hidup yang dikurnia Tuhan. Bersahabat dengan insan seperti mereka banyak mengajar saya untuk mensyukuri anugerah Allah.

Terima Kasih

Imej
15 DISEMBER 2022. Akhirnya, saya berjaya menamatkan pembacaan kumpulan cerpen Narasi Tanah Selandia Baru dan Kisah Lainnya. Kumpulan cerpen yang begitu mendekatkan saya dengan kandungan kitab suci umat Islam, al-Quran.  Kupu-kupu Biru di Penjuru Qalbu  membuatkan saya teruja. Ya, saya teruja dapat menebak bahawa penulis menghidangkan terjemahan Surah Al-Qaari'ah kepada pembaca.  Satu kegembiraan lagi adalah hasrat saya mendapatkan tandatangan Dr Mawar pada lembaran naskhah itu juga terlaksana, pada hari saya membaca halaman terakhir. Hari ini kali pertama saya habiskan pembacaan dan pastinya akan ada kali kedua dan seterusnya saya membaca lagi.

Ayam Masak Lemak Kuning.

Imej
Suapan pertama seakan membawa saya kembali ke kampung halaman dek rasanya begitu persis dengan air tangan umi. Wajah umi hadir lagi dalam kotak fikiran saya. Durja redup umi sebenarnya tidak pernah menghilang walau sedetik pada akal saya. Kehangatan kasih umi tetap saya rasa walau berjauhan. Sungguh, cinta saya kepada umi laksana hamparan pasir pada pantai yang tidak terperi banyaknya. Umilah wanita yang selalu menuntun arah dan tidak pernah membiarkan saya sendiri. Umi, sosok ibu yang sentiasa melekat pada sanubari saya.

Waspada

Imej
Kadang tidak semua perkara perlu diberitahu. Kelak tafsirnya boleh jadi tidak sesuai seperti yang dihajatkan. Bahananya bakal mendinginkan dua jiwa yang pernah begitu mesra bersapa. Ya, saya belajar daripada itu.

Kanvas Bacaan

Imej
Dahulu, baca sekadar baca. Sekarang, setiap bait aksara yang saya tatap pasti terbit rasa kagum. Membuka minda. Penuh persoalan muncul pada benak pemikiran. Bagaimana penulis itu mampu mencoret baris-baris ayat yang indah. Dari mana datangnya ilham mencurah-curah kepada mereka. Ya Allah. Anugerahkan kepada saya idea bernas dan ilham tidak putus-putus. Saya mahu berkongsi kebaikan menerusi tulisan yang menghidupkan jiwa.

Tulisan Nan Indah

Imej
Agak mencabar untuk membaca naskhah bertulisan jawi. Perlahan-lahan saya tajamkan kembali penguasaan pembacaan. Terima kasih buat penulis atas usaha keras mewujudkan buku yang bagi saya jarang-jarang ditemui. Unik.