Si Bunga Kertas
Dalam keributan pagi, saya gagahkan jua kaki ini untuk mendaki tangga-tangga kolej kediaman yang didiami. Tangga-tangga itu bagaikan pergunungan Kinabalu. Dipertengahan jalan saya tersapa oleh keindahan bunga Kertas. Padanya terdapat titisan hujan yang turun membasahi bumi semalam. Sungguh menarik pada pandangan mata saya. Saya kira bunga itu adalah hadiah dari Tuhan buat saya yang berpagian menjejakkan kaki ke tanah meninggalkan tilam yang empuk. Pada masa yang sama, Allah turut hadirkan udara yang nyaman mengatasi keributan langkahan kaki saya tadi. Satu kata yang dapat digantikan bagi menggambarkan pagi saya pada hari ini adalah perjuangan. Perjuangan yang akan membuahkan hasil dan mendatangkan berbagai-bagai hikmah. Siapa sangka dalam keributan pagi yang dirasakan, Allah hadirkan si bunga Kertas yang membuatkan saya terpegun olehnya. Benarlah janji Allah bahawa pada setiap kesusahan itu pasti akan terselit oleh kemudahan. Pasti!
Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)? - (Ar-Rahmaan 55:13)
Ulasan
Catat Ulasan