Catatan

Tunjukkan catatan dari November, 2022

Lagi, Tentang Rindu

Imej
Bukan kepalang rasanya jiwa ini. Saya bahagia. Terlalu bahagia. Berkesempatan pulang ke pangkuan mereka walau sebentar. Peluang ini akan saya manfaatkan sebaiknya. Harga keberuntungan ini adalah berbelas jam perjalanan. Bertemankan  kesesakan anak perantau pulang menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin. Itu semua tiada apa-apa bagi saya. Asalkan wajah mereka dapat saya tatap. Terlerai rindu yang saya tanggung. Akhirnya, saya disini. Di pangkuan mereka.  Terima kasih Tuhan atas nikmat kasih ini.

Jumantara Menangis

Imej
Curahan rahmat turun membasahi bumi. Ditemani kilat dan guruh yang menggerunkan. Kehadiran guruh itu bagai menggegarkan kediaman saya di aras tiga Kolej Tun Hussein Onn. Sungguh mencemaskan. Turut mendapat perkhabaran tentang banjir kilat di kolej kediaman sahabat-sahabat yang lain. Penghuni Kolej Keris Mas pasti gelisah dengan keadaan itu. Kolej Ungku Omar dan Kolej Aminuddin Baki yang teguh di atas bukit itu pun terlibat sama. Ya Allah, selamatkanlah universiti watan ini. Hanya kepada-Mu kami berlindung.  اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ، وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ Ya Allah turunkan hujan ini di sekitar kami jangan di atas kami. Ya Allah curahkanlah hujan ini di atas bukit-bukit, di hutan-hutan lebat, di gunung-gunung kecil, di lembah-lembah, dan tempat-tempat tumbuhnya pepohonan. (HR Bukhari Muslim)
Imej
Saya teruja mendapatkan buku Narasi Tanah Selandia Baru dan Kisah Lainnya. Tidak sabar untuk mendapatkan tandatangan Dr Mawar, penulis cerpen yang terkandung dalam buku itu pada akhir kelas Penulisan Kreatif akan datang. Semoga berkesempatan !

Tentang Rindu

Imej
Genap sepurnama saya di perantauan.  Rindu yang membuku dihati ini tidak lagi mampu saya tanggung. Rindu terhadap suara yang tak pernah jemu menghulurkan nasihat kepada diri ini. Rindu untuk berkongsi segala rasa yang menyinggah. Rindu hendak mengusik wanita itu hingga terlakar senyuman pada bibirnya. Rindu mahu bertegur dengan lelaki yang terlihat garang namun penuh kasih dipendamnya. Coretan ini penuh dengan emosi kerinduan. Sungguh, rindu benar saya pada keduanya. Detik ini sang mata juga tidak lagi kuat menakung butir-butir mutiara kerinduan. Tidak sabar rasanya mahu berjumpa sosok tubuh itu. Semoga saja masih berkesempatan melepaskan rindu ini dan berbakti kepada mereka. 

Si Bunga Kertas

Imej
Dalam keributan pagi, saya gagahkan jua kaki ini untuk mendaki tangga-tangga kolej kediaman yang didiami. Tangga-tangga itu bagaikan pergunungan Kinabalu. Dipertengahan jalan saya tersapa oleh keindahan bunga Kertas. Padanya terdapat titisan hujan yang turun membasahi bumi semalam. Sungguh menarik pada pandangan mata saya. Saya kira bunga itu adalah hadiah dari Tuhan buat saya yang berpagian menjejakkan kaki ke tanah meninggalkan tilam yang empuk. Pada masa yang sama, Allah turut hadirkan udara yang nyaman mengatasi keributan langkahan kaki saya tadi. Satu kata yang dapat digantikan bagi menggambarkan pagi saya pada hari ini adalah perjuangan. Perjuangan yang akan membuahkan hasil dan mendatangkan berbagai-bagai hikmah. Siapa sangka dalam keributan pagi yang dirasakan, Allah hadirkan si bunga Kertas yang membuatkan saya terpegun olehnya. Benarlah janji Allah bahawa pada setiap kesusahan itu pasti akan terselit oleh kemudahan. Pasti! Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kam