Catatan

Saya Mahu Menulis Lagi!

Imej
Hari kedua menyertai Bengkel Penulisan Kreatif (Cerpen) bersama penulis Salina Ibrahim, Dr Mawar Safei dan rakan penyelidik. Semoga harapan 'Saya Mahu Menulis Lagi' menjadi nyata, bersama semangat dan ilham. Doakan dan nantikan cerpen-cerpen seterusnya.
Imej
Peluang dan kesempatan.  Hari pertama, menghadiri Bengkel Penulisan Kreatif (Cerpen) bersama penulis Salina Ibrahim.  Terima kasih Dr. Mawar.  Minggu-minggu akhir berada di universiti watan sebelum menjalani peperiksaan dan Latihan Industri
Benarlah tiada jalan yang mudah untuk menggapai bintang-bintang indah melainkan dengan pengorbanan tanpa mengenal erti lelah. Semoga ia menjadi bukti bahawa saya pernah belajar menjadi insan yang tidak mudah mengalah dan berputus asa.

Buku Hijau dan Harapan

Imej
  21 Jun 2024. Tiga tahun saya di sini dan perjalanannya semakin hampir ke garis penamat. Entah berapa banyak air mata dan fikir-fikir keraguan yang menjengah. Perjalanannya bukan mudah tapi harungi saja. Sangat mencabar tapi yang manisnya tetap tak kurang, bersama mereka. Manfaatkan segala ruang dan peluang yang ada. InshaAllah yang terbaik bakal mengiringi.  Terima kasih Allah atas rezeki dan kesempatan menyiapkan Latihan Ilmiah ini. Semoga ia membawa manfaat kepada ramai pada masa akan datang. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, secara langsung mahupun tak langsung.  Terima kasih atas kata-kata kebaikan, kepercayaan dan doa-doa yang kalian dan saya sebut-sebutkan supaya perjuangan ini dipermudahkan.  Tanpa kalian, tak mungkin saya boleh sampai hingga tahap ni. Kepada yang masih berjuang, jangan tunduk pada kekalahan. Terus perjuangkan hingga ke titik terakhir. Semoga terus diberi kekuatan dan bimbingan daripada-Nya.  Semoga Allah bantu dan permudahkan urusan seterusnya hi

Pesan-pesan Buat Pejuang

Imej
Kawan, Dapat hirup udara segar di kala minggu ke-14 ini pun satu nikmat.  Ambillah masa sekejap. Rehatkan otak daripada terus dipaksa berjaga. Jaga diri, jaga kesihatan. Selamat berjuang!

Debu-debu yang berterbangan

 Pada biasan cahaya petang Debu-debu itu kekal berterbangan Hingga akhir Ia rebah menyembah tanah
 Dia, Allah Yang Esa Wujudnya cuma satu Tiada dua apatah lagi tiga. Dia, Yang Maha Mengatur  Edaran cakerawala taat menurut Hanya dia yang berkuasa atas segala yang dimiliki. Hiduplah dengan waspada Letakkan pertimbangan yang wajar Pada setiap perkara yang direncanakan
Masih saya dengar suara kanak-kanak di masjid-masjid dan surau-surau yang saya datangi. Riangnya mereka berlarian bergurau senda pada saat jemaah sedang bersujud kepada Tuhan. Semoga suara-suara itu akan mendekati masjid. Menjadi sebahagian umat manusia yang kekal taat kepada Sang Pencipta. Ramadan 17, 1444H

Jalinan Kasih x UKM

Imej
25 Januari 2023. Bersama mereka membuatkan saya lebih menghargai nikmat menjadi warganegara yang sah. Mereka, anak-anak yang lahir di watan ini. Dibesarkan tanpa tanda pengesahan diri sebagai rakyat Malaysia. Mereka juga berimpian, sama seperti saya. Mahu menjejakkan kaki ke UKM bergelar mahasiswa di sini. Bingung saya memikirkan. Ah. Itu bukan kuasa saya. Allah jua yang menentukan tiap-tiap sesuatu. Semoga ruang menyantuni mereka pada hari ini bukan sekadar memberikan harapan kosong yang bakal menghampakan. Rabbuna yusahhil adik-adik Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih. Semoga hari mendatang yang bakal kamu tempuhi dituntun Allah sentiasa. Kerja Lapangan Kursus Citra Kesukarelawanan Khidmat Bakti (LMCR1102)

Persinggahan

Imej
Jika bukan diri saya sendiri yang bangkit menongkah kefuturan ini, pada siapa lagi saya berharap? Saya melangkah berat menentang larian bayu mencari persinggahan mengumpul semula kekuatan yang kian memudar. Rumah itu, rumah yang menenangkan. Saya perlu segera ke sana.

Kartika

Imej
Jamal atau kirana? Kamu tentukan. Ia jauh dari pandangan mata. Kemilaunya tetap menyuluh sukma yang diselimuti zulmat.

Negeri Jelapang Padi; Kajian Lapangan Dialektologi

Imej
Mereka mengajar saya erti ukhuwah. Walau tidak mengenal rombongan kami, salam persaudaraan tetap dihulur dengan begitu mesra. Nurani saya bagai direntap dari jiwa saat kami berpisah. Padahal pertemuan kami beberapa jam sahaja. Ia tetap membuatkan takungan mutiara di tubir mata hampir pecah. Saya sematkan memori bersama mereka; sahabat seperjuangan dan penduduk Kampung Kandis, Kodiang dalam lubuk hati yang paling dalam. Semoga perkenalan ini tidak lebur dimamah waktu. Semoga berkesempatan untuk bertentang mata lagi duhai butir-butir padi.
Pantulan si gadis manis berbaju tradisi Melayu pada cermin kaca itu berjaya menggamit memori pada zaman persekolahan. Ia membuatkan saya terkenang akan sahabat yang sama-sama berjuang beberapa tahun lalu. Senyuman mesra mereka masih segar pada citra ingatan saya. Satu per satu silih berganti. Gelak tawa mereka juga kekal sama seperti dahulu. Masih terdengar pada cuping saya. Begitu akrab kami bersahabat. Wahai Ar-Rahman, rahmatilah mereka. Sejahterakan jiwa mereka. Bantulah perjuangan mereka, wahai Yang Maha Menguasai Langit dan Bumi.

Kelana yang Kelu

Imej
Saya ziarah blog sahabat, tempat kami berlatih dan bertatih menulis. Satu per satu aksara yang mereka persembahkan saya baca. Turut menyerta satu perasaan halus seakan menjentik saraf emosi saya. Entah mengapa laju benar meluncur hujan mutiara jernih dari kelopak mata. Tangki emosi itu akhirnya pecah jua, tidak mampu saya tahan-tahan lagi. Teresak-esak saya menahan rasa. Bagai anak kecil ditinggal ibu. Nukilan mereka seakan mencengkam sukma saya. Menyesakkan dada untuk diterjemah. Dalam diam ada sahabat yang sebenarnya bertimpa ujian ke atas mereka. Ya Allah, saya keliru. Saya tertanya-tanya. Mengapa saat bertentang mata hanya gelak tawa dan riak ceria yang mereka hidangkan? Mengapa saya tidak pernah mampu menebak taufan yang melanda jiwa mereka? Begitu ikhlas mereka perjuangkan nikmat hidup yang dikurnia Tuhan. Bersahabat dengan insan seperti mereka banyak mengajar saya untuk mensyukuri anugerah Allah.

Terima Kasih

Imej
15 DISEMBER 2022. Akhirnya, saya berjaya menamatkan pembacaan kumpulan cerpen Narasi Tanah Selandia Baru dan Kisah Lainnya. Kumpulan cerpen yang begitu mendekatkan saya dengan kandungan kitab suci umat Islam, al-Quran.  Kupu-kupu Biru di Penjuru Qalbu  membuatkan saya teruja. Ya, saya teruja dapat menebak bahawa penulis menghidangkan terjemahan Surah Al-Qaari'ah kepada pembaca.  Satu kegembiraan lagi adalah hasrat saya mendapatkan tandatangan Dr Mawar pada lembaran naskhah itu juga terlaksana, pada hari saya membaca halaman terakhir. Hari ini kali pertama saya habiskan pembacaan dan pastinya akan ada kali kedua dan seterusnya saya membaca lagi.

Ayam Masak Lemak Kuning.

Imej
Suapan pertama seakan membawa saya kembali ke kampung halaman dek rasanya begitu persis dengan air tangan umi. Wajah umi hadir lagi dalam kotak fikiran saya. Durja redup umi sebenarnya tidak pernah menghilang walau sedetik pada akal saya. Kehangatan kasih umi tetap saya rasa walau berjauhan. Sungguh, cinta saya kepada umi laksana hamparan pasir pada pantai yang tidak terperi banyaknya. Umilah wanita yang selalu menuntun arah dan tidak pernah membiarkan saya sendiri. Umi, sosok ibu yang sentiasa melekat pada sanubari saya.

Waspada

Imej
Kadang tidak semua perkara perlu diberitahu. Kelak tafsirnya boleh jadi tidak sesuai seperti yang dihajatkan. Bahananya bakal mendinginkan dua jiwa yang pernah begitu mesra bersapa. Ya, saya belajar daripada itu.

Kanvas Bacaan

Imej
Dahulu, baca sekadar baca. Sekarang, setiap bait aksara yang saya tatap pasti terbit rasa kagum. Membuka minda. Penuh persoalan muncul pada benak pemikiran. Bagaimana penulis itu mampu mencoret baris-baris ayat yang indah. Dari mana datangnya ilham mencurah-curah kepada mereka. Ya Allah. Anugerahkan kepada saya idea bernas dan ilham tidak putus-putus. Saya mahu berkongsi kebaikan menerusi tulisan yang menghidupkan jiwa.

Tulisan Nan Indah

Imej
Agak mencabar untuk membaca naskhah bertulisan jawi. Perlahan-lahan saya tajamkan kembali penguasaan pembacaan. Terima kasih buat penulis atas usaha keras mewujudkan buku yang bagi saya jarang-jarang ditemui. Unik.

Lagi, Tentang Rindu

Imej
Bukan kepalang rasanya jiwa ini. Saya bahagia. Terlalu bahagia. Berkesempatan pulang ke pangkuan mereka walau sebentar. Peluang ini akan saya manfaatkan sebaiknya. Harga keberuntungan ini adalah berbelas jam perjalanan. Bertemankan  kesesakan anak perantau pulang menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin. Itu semua tiada apa-apa bagi saya. Asalkan wajah mereka dapat saya tatap. Terlerai rindu yang saya tanggung. Akhirnya, saya disini. Di pangkuan mereka.  Terima kasih Tuhan atas nikmat kasih ini.

Jumantara Menangis

Imej
Curahan rahmat turun membasahi bumi. Ditemani kilat dan guruh yang menggerunkan. Kehadiran guruh itu bagai menggegarkan kediaman saya di aras tiga Kolej Tun Hussein Onn. Sungguh mencemaskan. Turut mendapat perkhabaran tentang banjir kilat di kolej kediaman sahabat-sahabat yang lain. Penghuni Kolej Keris Mas pasti gelisah dengan keadaan itu. Kolej Ungku Omar dan Kolej Aminuddin Baki yang teguh di atas bukit itu pun terlibat sama. Ya Allah, selamatkanlah universiti watan ini. Hanya kepada-Mu kami berlindung.  اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ، وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ Ya Allah turunkan hujan ini di sekitar kami jangan di atas kami. Ya Allah curahkanlah hujan ini di atas bukit-bukit, di hutan-hutan lebat, di gunung-gunung kecil, di lembah-lembah, dan tempat-tempat tumbuhnya pepohonan. (HR Bukhari Muslim)
Imej
Saya teruja mendapatkan buku Narasi Tanah Selandia Baru dan Kisah Lainnya. Tidak sabar untuk mendapatkan tandatangan Dr Mawar, penulis cerpen yang terkandung dalam buku itu pada akhir kelas Penulisan Kreatif akan datang. Semoga berkesempatan !

Tentang Rindu

Imej
Genap sepurnama saya di perantauan.  Rindu yang membuku dihati ini tidak lagi mampu saya tanggung. Rindu terhadap suara yang tak pernah jemu menghulurkan nasihat kepada diri ini. Rindu untuk berkongsi segala rasa yang menyinggah. Rindu hendak mengusik wanita itu hingga terlakar senyuman pada bibirnya. Rindu mahu bertegur dengan lelaki yang terlihat garang namun penuh kasih dipendamnya. Coretan ini penuh dengan emosi kerinduan. Sungguh, rindu benar saya pada keduanya. Detik ini sang mata juga tidak lagi kuat menakung butir-butir mutiara kerinduan. Tidak sabar rasanya mahu berjumpa sosok tubuh itu. Semoga saja masih berkesempatan melepaskan rindu ini dan berbakti kepada mereka. 

Si Bunga Kertas

Imej
Dalam keributan pagi, saya gagahkan jua kaki ini untuk mendaki tangga-tangga kolej kediaman yang didiami. Tangga-tangga itu bagaikan pergunungan Kinabalu. Dipertengahan jalan saya tersapa oleh keindahan bunga Kertas. Padanya terdapat titisan hujan yang turun membasahi bumi semalam. Sungguh menarik pada pandangan mata saya. Saya kira bunga itu adalah hadiah dari Tuhan buat saya yang berpagian menjejakkan kaki ke tanah meninggalkan tilam yang empuk. Pada masa yang sama, Allah turut hadirkan udara yang nyaman mengatasi keributan langkahan kaki saya tadi. Satu kata yang dapat digantikan bagi menggambarkan pagi saya pada hari ini adalah perjuangan. Perjuangan yang akan membuahkan hasil dan mendatangkan berbagai-bagai hikmah. Siapa sangka dalam keributan pagi yang dirasakan, Allah hadirkan si bunga Kertas yang membuatkan saya terpegun olehnya. Benarlah janji Allah bahawa pada setiap kesusahan itu pasti akan terselit oleh kemudahan. Pasti! Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kam